Federation of Malaysian Manufacturing (Formerly known as Federation of Malaysian Manufacturers)

MoU FMM-HKPC perkasa teknologi 13,300 syarikat rantaian pembuatan

April 22, 2026
Head Office, KL
FMM In The News: BERITA HARIAN, 21 April 2026

KUALA LUMPUR: Majlis Produktiviti Hong Kong (HKPC) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mewujudkan rantaian nilai serantau yang baharu.  

Kerjasama ini dijangka memberi kesan langsung dalam memacu peningkatan perindustrian merentas ASEAN.  

Langkah strategik ini bertujuan menyepadukan kelebihan sumber kedua-dua wilayah untuk sokongan inovasi teknologi.
Pemerkasaan ini bakal membawa impak besar kepada sektor pembuatan tempatan melalui penyepaduan rangkaian rantaian bekalan FMM yang merangkumi lebih 13,300 syarikat ahli, yang terdiri daripada 4,200 ahli langsung dan 9,100 ahli tidak langsung. Rangkaian besar berkenaan akan digabungkan dengan keupayaan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) HKPC yang mendalam dalam inovasi produk serta pemindahan teknologi.

Tumpuan utama perkongsian ini meliputi enam bidang penting, termasuk Pembuatan Pintar dan Industri 4.0, Inovasi Kecerdasan Buatan (AI) dan Robotik, serta Transformasi Digital dan Keselamatan Siber. Selain itu, ia juga memberi penekanan kepada Ekosistem Perniagaan Merentas Sempadan dan Pembangunan Bakat bagi mendaya upayakan pemain industri.

Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok menegaskan bahawa pemeteraian dokumen berkenaan merupakan titik permulaan bagi sebuah pelan hala tuju yang komprehensif.  

"MoU ini hanyalah permulaan kepada pelan hala tuju kami yang merangkumi latihan teknikal bersama, bengkel, lawatan teknologi dan projek perintis," kata beliau. Inisiatif ini dirangka bagi mendedahkan ahli FMM kepada inovasi pembuatan terkini secara langsung. 

Mengulas lanjut, Chor Kok menzahirkan wawasan pertubuhan berkenaan terhadap masa depan industri. "Kami membayangkan masa depan di mana syarikat Malaysia dan Hong Kong bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), merintis teknologi baharu dan mencipta penyelesaian bersama untuk cabaran yang sedang muncul," tambah beliau. 

Dari sudut makroekonomi, kedudukan Malaysia sebagai ekonomi ketiga terbesar di ASEAN dengan sektor pembuatan yang kukuh menjadikannya rakan dagang kelapan terbesar bagi wilayah Hong Kong. Sehubungan itu, wilayah berkenaan berfungsi sebagai batu loncatan penting dan hab strategik bagi syarikat Malaysia yang ingin menembusi pasaran serantau dan global. 

Perikatan berkenaan juga bakal membantu wilayah Hong Kong melaksanakan strategi 'Membawa Masuk dan Menjelajah Global' dengan lebih baik. 

Langkah ini membolehkan syarikat merebut peluang pembangunan serantau dalam ASEAN, sekali gus mengoptimumkan susun atur rantaian bekalan di tengah-tengah penstrukturan semula rantaian bekalan global. 

Pengerusi HKPC, Sunny Tan menyatakan bahawa di bawah Rancangan Lima Tahun Ke-15 peringkat nasional, wilayahnya telah menjadi platform penting untuk perusahaan berkembang ke peringkat antarabangsa. 

"Pemeteraian MoU antara HKPC dan FMM ini menandakan satu peristiwa penting dalam kerjasama ke arah pemodenan perindustrian," jelas beliau. 

Tan turut menekankan komitmen mereka terhadap aplikasi teknologi tinggi dalam industri. 

"Kami komited terhadap inovasi teknologi, dengan fokus untuk meningkatkan kepakaran dalam automasi, Industri 4.0, AI, dan robotik, serta secara aktif membina platform padanan perniagaan," ujar beliau. 

Upacara menandatangani perjanjian berkenaan telah berlangsung di Kuala Lumpur pada 20 April 2026. 

Ia ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif FMM, Datuk Dr Yeoh Oon Tean dan Pengarah Eksekutif HKPC, Mohamed D. Butt. 

Majlis rasmi itu turut disaksikan oleh Chor Kok,Tan, Presiden Emeritus FMM, Tan Sri Soh Thian Lai serta Pengarah Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong di Kuala Lumpur, Owin Fung Ho Yin. 

Sinergi yang terbentuk ini bukan sahaja mengukuhkan daya tahan korporat terhadap risiko rantaian bekalan dunia. 

Malah, ia memastikan perusahaan dari kedua-dua kawasan memperoleh kedudukan yang proaktif dalam persaingan rantaian bekalan global bagi mencipta kelebihan daya saing yang kukuh. 

Kolaborasi strategik ini membuktikan komitmen berterusan FMM yang telah menjadi suara sektor pembuatan Malaysia sejak tahun 1968. 

Ia selari dengan matlamat advokasi pertubuhan berkenaan untuk memacu inisiatif yang merangsang pertumbuhan perindustrian, daya saing, dan pembangunan tenaga kerja.




An unhandled error has occurred. Reload