69 peratus operasi kilang di Malaysia terjejas angkara jerebu rentas sempadan

October 30, 2026
Head Office, KL

FMM In The News: BERITA HARIAN, 28 Oktober 2026

KUALA LUMPUR: Jerebu rentas sempadan menjejaskan operasi 69 peratus tapak industri yang menyertai tinjauan Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM), dengan gangguan terhadap tenaga kerja, pengeluaran dan penghantaran antara kesan utama yang dilaporkan.

Tinjauan FMM terhadap 86 tapak antara 12 hingga 21 Oktober lalu mendapati, 26 peratus responden berdepan gangguan operasi pada tahap sederhana atau ketara, manakala 65 peratus terjejas sejak Ogos atau September lalu.

Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok, berkata jerebu rentas sempadan adalah cabaran serantau berulang yang memerlukan tindakan lebih tegas dan penyelarasan lebih menyeluruh antara negara.

"Dari tahun ke tahun, Malaysia dan negara jiran terus mengalami kesan jerebu rentas sempadan. Selain kemerosotan alam sekitar, jerebu menjejaskan kesihatan manusia, kesejahteraan pekerja, produktiviti industri dan aktiviti ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.

Chor Kok berkata, bagi sektor pembuatan, pendedahan berpanjangan kepada jerebu boleh menyebabkan pekerja jatuh sakit, peningkatan ketidakhadiran, gangguan pengeluaran dan penghantaran serta perbelanjaan tambahan bagi langkah perlindungan dan penjagaan kesihatan.

Menurut laporan kajian yang dilaksanakan FMM, kesan terhadap operasi kebanyakannya berpunca daripada gangguan tenaga kerja dengan 59 tapak yang melaporkan terjejas menyaksikan sebanyak 81 peratus mencatatkan peningkatan cuti sakit, manakala 63 peratus menyatakan penutupan sekolah menjejaskan ketersediaan pekerja.

 

Kekurangan tenaga kerja turut mengganggu operasi syif, pengeluaran atau penghantaran di 14 peratus tapak yang terjejas.

Selain itu, 37 peratus melaporkan pengeluaran lebih rendah, sementara 27 peratus terpaksa menghentikan sekurang-kurangnya satu operasi untuk tempoh tertentu.

Daripada tapak yang mengalami pengurangan pengeluaran, 23 peratus menjangkakan dapat menggantikan sepenuhnya kehilangan pengeluaran dalam tempoh empat minggu, manakala 21 peratus menjangkakan kehilangan itu tidak dapat dipulihkan.

Laporan itu turut menyebut, tekanan kos turut meningkat apabila 92 peratus tapak melaporkan perbelanjaan tambahan, terutama untuk pembelian pelitup muka yang dinyatakan oleh 76 peratus responden dan kos perubatan sebanyak 58 peratus, manakala sebanyak 45 tapak yang menganggarkan perbelanjaan tambahan melaporkan jumlah sekurang-kurangnya RM280,000.

Kajian itu turut mendapati responden memerlukan panduan jelas mengenai aturan kerja selamat sekiranya jerebu berterusan, dengan 55 peratus memilih langkah berkenaan.

Selain itu, 50 peratus meminta sokongan bagi peralatan perlindungan dan penapisan udara, manakala 47 peratus mahukan amaran kualiti udara serta pemakluman awal mengenai penutupan sekolah.

Chor Kok berkata, FMM menggesa pemimpin serantau memberi perhatian lebih besar terhadap pencemaran jerebu rentas sempadan pada mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan ASEAN, termasuk melalui mekanisme kerjasama berkaitan alam sekitar, ekonomi dan peringkat menteri.

"Pencegahan jerebu tidak boleh dipikul oleh sesebuah negara sahaja kerana kesannya merentasi sempadan, sekali gus memerlukan kerjasama serantau dalam penyelidikan saintifik, pemantauan alam sekitar, sistem amaran awal, pengurusan tanah mampan dan pencegahan kebakaran," katanya.

Kajian bebas bertajuk 'The 2026 Fire Season and Transboundary Haze in Malaysia' itu meliputi tempoh 1 Julai hingga 22 Oktober 2026, menggunakan pemerhatian satelit, pemantauan kualiti udara, pemodelan atmosfera dan tinjauan ahli FMM untuk menilai sumber serta kesan jerebu terhadap kesihatan awam, produktiviti industri dan ekonomi.

Sumber artikel: www.bharian.com.my


Certified to IS0 9001:2015

Certificate No: QMS 00787

Certified to IS0 37001:2016

Certificate No: ABMS 00295

An unhandled error has occurred. Reload