ASEAN perlu hapuskan punca jerebu, bukan tunggu krisis berulang – FMM
FMM In The News: MALAYSIA GAZETTE, 9 Oktober 2026
KUALA LUMPUR – Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menggesa negara-negara ASEAN memperkukuh penguatkuasaan, sistem amaran awal dan pembiayaan pencegahan kebakaran bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan yang mengancam kesihatan awam serta produktiviti ekonomi.
Presidennya, Jacob Lee Chor Kok berkata, krisis jerebu yang berulang bukan sahaja menjejaskan kesihatan orang ramai, malah memberi kesan kepada keselamatan pekerja, operasi perkilangan dan kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, sebanyak 36 kawasan di Malaysia merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 7 malam, semalam (8 Oktober) berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Katanya, Segamat, Johor mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 190, diikuti Seremban, Negeri Sembilan pada paras 189.
“Situasi ini menunjukkan kesan jerebu yang lebih luas terhadap keluarga, tempat kerja dan kegiatan ekonomi harian, termasuk gangguan kepada sektor pendidikan.
“Udara bersih bukan satu kemewahan, sebaliknya keperluan asas bagi kesihatan awam, produktiviti ekonomi dan pembangunan mampan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, industri pembuatan turut berdepan risiko kesihatan pekerja, ketidakhadiran kakitangan, gangguan operasi luar dan logistik, selain peningkatan kos sistem penapisan udara serta peralatan perlindungan.
Sehubungan itu, FMM menggariskan lima tindakan utama yang perlu diberi keutamaan oleh negara ASEAN bagi mencegah kebakaran dan mengurangkan pendedahan kepada jerebu.
Antaranya, memperkukuh sistem pemantauan dan amaran awal sedia ada menerusi integrasi data satelit, pengukuran kualiti udara di darat, maklumat meteorologi serta penggunaan kecerdasan buatan (AI).
FMM berkata, sistem berkenaan perlu membolehkan risiko kebakaran dikenal pasti lebih awal, selain memastikan maklumat dan amaran sampai kepada komuniti serta sektor perniagaan supaya langkah perlindungan dapat diambil sebelum keadaan bertambah buruk.
Persatuan itu turut menggesa negara anggota ASEAN memperketat penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka haram, menggalakkan amalan pengurusan tanah dan pertanian mampan serta mempercepat pemulihan ekosistem tanah gambut yang terdedah kepada kebakaran.
Pada masa sama, pekebun kecil dan komuniti luar bandar perlu dibantu menerusi penyediaan teknologi, peralatan serta bantuan kewangan yang mampu milik sebagai alternatif kepada pembakaran terbuka.
Dalam aspek rantaian bekalan, FMM menggesa syarikat memperkukuh usaha wajar alam sekitar, mengamalkan kaedah tanpa pembakaran dan meningkatkan kebolehkesanan sumber bahan mentah pertanian serta berasaskan hutan.
Menurutnya, usaha itu perlu disokong pengesahan yang boleh dipercayai, penguatkuasaan konsisten dan bantuan praktikal kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian kelestarian.
FMM turut mencadangkan peningkatan pembiayaan, teknologi dan penyelidikan bagi pencegahan jerebu, termasuk menerusi Kerangka Pelaburan ASEAN bagi Pengurusan Tanah Mampan Bebas Jerebu yang menyasarkan mobilisasi dana berjumlah AS$1.5 bilion menjelang 2030.
Katanya, kerjasama kerajaan, sektor swasta, universiti dan institusi penyelidikan perlu dipertingkatkan bagi membangunkan penyelesaian praktikal serta mampu milik, termasuk teknologi satelit, sistem pemantauan pencemaran udara dan kaedah pengurusan tanah mampan.
Selain itu, FMM menegaskan kerajaan dan majikan perlu mengutamakan kesihatan serta keselamatan pekerjaan ketika bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat, khususnya bagi pekerja luar dan golongan rentan.
Majikan disaran mengambil langkah mengawal pendedahan kepada jerebu di tempat kerja, menyelenggara sistem pengudaraan dan penyaman udara serta menyediakan peralatan penapisan udara yang sesuai berdasarkan penilaian risiko.
FMM turut menggesa ASEAN menerbitkan laporan kemajuan secara berkala berdasarkan sasaran dan petunjuk prestasi sedia ada dalam Pelan Hala Tuju ASEAN Bebas Jerebu 2023–2030, bagi memastikan tindakan pencegahan, penguatkuasaan dan kerjasama serantau menghasilkan pencapaian yang boleh diukur.
Dalam pada itu, FMM meminta Belanjawan 2027 menyediakan insentif bagi teknologi alam sekitar, pencegahan pencemaran, penyelidikan dan pembangunan industri serta pelaburan kelestarian PKS.
Jacob berkata, FMM komited menggalakkan ahlinya melaksanakan langkah tindak balas terhadap jerebu di tempat kerja, selain menyokong penggunaan teknologi pengeluaran bersih dan amalan mendapatkan sumber bahan mentah secara bertanggungjawab.
“ASEAN tidak boleh bercita-cita menjadi destinasi utama pembuatan dan pelaburan mampan selagi jerebu berulang terus menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyatnya.
“Matlamatnya perlu melangkaui usaha mengurus jerebu apabila ia berlaku. ASEAN mesti berusaha menghapuskan secara berperingkat punca-punca jerebu yang boleh dicegah,” katanya. – MalaysiaGazette
Sumber artikel: malaysiagazette.com
