Belanjawan 2027: Dana, kos perniagaan jadi keutamaan KUSKOP

October 08, 2026
Head Office, KL

FMM In The News: BERITA HARIAN, 8 Oktober 2026

KUALA LUMPUR: Lebih banyak dana dan sumber untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengurangan kos menjalankan perniagaan adalah antara keutamaan utama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi Belanjawan 2027, kata Menterinya, Steven Sim Chee Keong.

Sim berkata, keutamaan lain termasuk meningkatkan kecekapan bantuan kerajaan untuk PKS.

"Butiran lanjut...perlu tunggu pengumuman Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Persidangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) 2026 anjuran Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM SMIC 2026), di sini hari ini.

Sim berkata, kementerian menyasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 100 syarikat mencapai hasil sebanyak RM100 juta dalam tempoh jangka sederhana, dengan empat inisiatif disasarkan untuk diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

Mengenai penentuan semula definisi PKS, beliau berkata, kementerian sedang mengusahakan perkara itu dan komited untuk memastikan definisi tersebut disemak semula sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Sim melahirkan harapan untuk melihat perkembangan positif dalam pelarasan ambang cukai korporat, penyediaan bantuan serta sokongan praktikal untuk PKS, dan pengukuhan perlindungan terhadap bayaran lewat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, dijadualkan membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen esok (9 Oktober).

Sementara itu, Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok, berkata persekutuan itu menggesa agar satu agenda pertumbuhan baharu diperkenalkan bagi membantu lebih banyak perniagaan Malaysia berkembang menjadi PKS, syarikat peringkat pertengahan, dan seterusnya menjadi juara nasional pada masa depan.

Beliau berkata, PKS yang lebih kukuh, lebih banyak syarikat peringkat pertengahan, dan akhirnya lebih banyak 'juara' (menerajui) di peringkat Malaysia, serantau serta global amat diperlukan.

"Kejayaan kita tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah PKS yang kita miliki, sebaliknya melalui bilangan syarikat kita berjaya berkembang menjadi perusahaan yang lebih besar dan berdaya saing.

"Matlamat kita seharusnya adalah untuk menggalakkan PKS berkembang dengan lebih baik, lebih kukuh dan lebih berdaya saing bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan. Saya berharap ini akan mendapat sokongan padu daripada menteri kita," katanya.

FMM SMIC 2026 yang berlangsung hari ini menarik penyertaan lebih 300 pemimpin perniagaan, usahawan, penggubal dasar dan pihak berkepentingan industri, dengan perbincangan tertumpu kepada empat tonggak, iaitu rangka kerja, bakat, modal dan teknologi serta merangkumi aspek pengembangan perniagaan, pembiayaan pertumbuhan dan pendigitalan. - BERNAMA

Sumber artikel: www.bharian.com.my

 

 

 


Certified to IS0 9001:2015

Certificate No: QMS 00787

Certified to IS0 37001:2016

Certificate No: ABMS 00295

An unhandled error has occurred. Reload