FMM gesa garis panduan pengecualian gaji minimum PMKS diperincikan

October 01, 2026
Head Office, KL

FMM In the News: BERITA HARIAN, 30 September 2026

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu segera memperincikan garis panduan pelaksanaan pengecualian kenaikan gaji minimum bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk tempoh, kelayakan dan mekanisme semakan bagi memberi kepastian kepada majikan serta pekerja.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok, berkata keputusan itu mengambil kira tekanan operasi yang dihadapi perniagaan lebih kecil selain keperluan mengimbangi peningkatan pendapatan pekerja dengan keupayaan majikan untuk menanggung kos lebih tinggi.

Beliau berkata, daya maju perniagaan dan kebajikan pekerja adalah objektif yang saling berkaitan.

Katanya, syarikat perlu mempunyai kapasiti untuk melabur dan berkembang bagi mengekalkan pekerjaan serta menawarkan gaji lebih baik.

"FMM menyokong pertumbuhan gaji yang adil dan mampan berdasarkan peningkatan produktiviti, kemahiran serta prestasi perniagaan.

"Skala dan masa pelaksanaan sebarang pelarasan perlu mengambil kira keadaan ekonomi, tahap pekerjaan dan kapasiti kewangan perniagaan yang berbeza," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chor Kok berkata, pengeluar berskala kecil berdepan kekangan untuk memindahkan kos lebih tinggi kepada pelanggan, terutama syarikat yang bersaing dalam pasaran eksport atau terikat dengan kontrak bekalan sedia ada.

Beliau berkata, kenaikan gaji minimum turut memberi kesan kepada struktur gaji keseluruhan apabila majikan berusaha mengekalkan perbezaan munasabah antara pekerja berdasarkan kemahiran, pengalaman dan tanggungjawab.

Menurutnya, Kajian Keadaan Perniagaan FMM bagi separuh pertama 2026 juga menunjukkan 69 peratus responden berdepan peningkatan kos pengeluaran, ketika keadaan sektor pembuatan dan permintaan turut menunjukkan kelemahan.

Sehubungan itu, katanya, FMM menggesa kerajaan menetapkan definisi jelas mengenai PMKS yang layak, kriteria kelayakan, tarikh mula dan tempoh pengecualian serta mekanisme semakan terhadap dasar berkenaan.

"Majikan dan pekerja juga memerlukan kepastian sama ada langkah ini adalah penangguhan kepada tarikh pelaksanaan kemudian atau pengecualian yang tertakluk kepada syarat semakan tertentu," katanya.

Chor Kok berkata, FMM turut mengingatkan bahawa pengecualian daripada kenaikan gaji minimum pada masa depan perlu dibezakan daripada kewajipan gaji minimum sedia ada.

Beliau berkata, ia tidak harus ditafsirkan sebagai kebenaran untuk mengurangkan gaji semasa atau mengabaikan kadar gaji minimum berkanun.

Dalam pada itu. katanya, FMM menyambut baik cadangan menggunakan Dasar Gaji Progresif bagi menyokong peningkatan gaji seiring peningkatan produktiviti, dengan subsidi perlu mudah diakses PMKS sektor pembuatan yang layak, proses permohonan ringkas dan pembayaran tepat pada masanya.

Beliau berkata, bantuan itu juga perlu dilengkapi sokongan praktikal dalam automasi, pendigitalan, peningkatan kemahiran dan penambahbaikan proses pengeluaran.

Katanya, bagi membolehkan pengeluar kecil meningkatkan produktiviti serta nilai tambah dan mengekalkan pertumbuhan gaji selepas tempoh subsidi berakhir.

"FMM turut melihat Belanjawan 2027 sebagai peluang memperkukuh pendekatan itu menerusi cadangan Pakej Sokongan Pembuatan Pintar, kerangka cukai lebih kompetitif untuk PKS serta sokongan latihan dan perantisan diterajui industri.

"Semakan gaji minimum perlu diteruskan menerusi proses tiga pihak Majlis Perundingan Gaji Negara dengan mengambil kira keadaan pengilang di luar kategori PMKS," katanya.

Sumber artikel: www.bharian.com.my


Certified to IS0 9001:2015

Certificate No: QMS 00787

Certified to IS0 37001:2016

Certificate No: ABMS 00295

An unhandled error has occurred. Reload