FMM mahu ciri kredit cukai GST dimasukkan dalam SST
FMM In The News: BERITA HARIAN, 19 Ogos 2026
KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mahu kerajaan memasukkan mekanisme kredit cukai input seperti yang digunakan dalam Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke dalam sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi mengurangkan kesan cukai bertindih dan tekanan kos sepanjang rantaian bekalan.
Presidennya, Jacob Lee Chor Kok berkata, kelemahan struktur SST ketika ini ialah cukai yang dibayar ke atas input perniagaan tidak semestinya boleh dituntut semula, menyebabkan kos berkenaan tertanam dalam kos pengeluaran dan boleh dibawa ke peringkat seterusnya dalam rantaian bekalan.
"FMM melihat merit dalam cadangan kerajaan untuk memasukkan ciri-ciri baik GST ke dalam SST, khususnya mekanisme kredit cukai input. Mekanisme kredit yang direka dengan baik akan menangani masalah itu pada puncanya dengan membolehkan cukai yang layak dibayar ke atas input perniagaan dituntut semula," kata beliau dalam satu kenyataan.
FMM mencadangkan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang dikenakan ke atas input perniagaan dibenarkan sebagai kredit atau diimbangi dengan liabiliti cukai.
Mekanisme itu dicadangkan meliputi bahan, mesin, logistik dan penghantaran, sewaan kilang, pembinaan kemudahan pengeluaran, pembiayaan serta perkhidmatan perniagaan lain yang layak.
Menurut Lee, keperluan menangani isu berkenaan semakin mendesak selepas skop SST diperluaskan sejak 2024, menyebabkan lebih banyak input dan perkhidmatan perniagaan masuk ke dalam jaringan percukaian, sekali gus meningkatkan risiko cukai bertindih serta kos yang tertanam dalam rantaian bekalan.
FMM turut memberi amaran bahawa pengecualian cukai jualan ke atas sesuatu barangan keperluan akhir tidak semestinya melindungi pengguna sepenuhnya kerana cukai yang dikenakan pada peringkat hulu mungkin masih tertanam dalam kos pengeluaran dan pengedaran.
"Rakyat tidak semestinya terlindung daripada SST hanya kerana produk keperluan akhir dikecualikan daripada cukai jualan," katanya.
Sehubungan itu, FMM mencadangkan rawatan kadar sifar seperti GST atau mekanisme kredit, rebat atau bayaran balik yang setara bagi cukai hulu yang layak dan berkait secara langsung dengan pengeluaran serta pengedaran barangan keperluan, supaya matlamat memastikan barangan asas bebas cukai dicapai di seluruh rantaian bekalan.
Bagi eksport, FMM mahu prinsip neutraliti cukai diwujudkan supaya barangan Malaysia yang dihantar ke luar negara tidak membawa bersama kos cukai penggunaan domestik.
Cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang layak dalam pengeluaran dan penghantaran eksport, menurutnya, perlu boleh dikreditkan, direbat atau dibayar balik bagi melindungi daya saing harga pengeluar Malaysia.
FMM turut menggesa kerajaan menggantikan pelbagai pengecualian dan pelepasan khusus mengikut kategori dengan mekanisme kredit atau rebat yang lebih sistematik.
Ia berkata, pelarasan selepas pelaksanaan termasuk pengecualian bahan mentah tertentu dan pelepasan peralihan menunjukkan kesan kos serta rantaian bekalan perlu dinilai secara menyeluruh sebelum langkah cukai baharu dilaksanakan.
Pada masa sama, FMM mahu sebarang mekanisme kredit cukai baharu disokong sistem bayaran balik yang boleh dipercayai, automatik dan mempunyai tempoh masa jelas.
"Salah satu pengajaran utama daripada pelaksanaan GST Malaysia sebelum ini ialah kesan kelewatan bayaran balik kredit cukai input terhadap aliran tunai perniagaan," kata Lee, sambil menekankan kredit lebihan yang disahkan perlu dibayar balik segera.
FMM turut mencadangkan infrastruktur e-Invois digunakan bagi mengesahkan transaksi perniagaan secara digital, meningkatkan ketelusan transaksi dan memperkukuh kawalan penipuan, sekali gus menyokong mekanisme kredit serta bayaran balik yang lebih cekap tanpa membebankan pematuhan, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana.
FMM menyambut baik kesediaan kerajaan mengkaji kemasukan ciri terpilih GST ke dalam SST, sambil mengakui SST akan kekal sebagai asas sistem cukai negara buat masa ini.
Pada masa sama, pendiriannya bahawa GST ialah kerangka cukai tidak langsung pilihan untuk jangka panjang kekal tidak berubah, dan FMM menggesa libat urus berstruktur dengan industri dimulakan segera bagi membentuk sistem yang mampu melindungi hasil kerajaan, mengawal tekanan kos sara hidup dan memperkukuh daya saing Malaysia.
