FMM saran kaji semula cukai korporat, krtieria kelayakan PKS
FMM In The News: BERITA RTM, 25 Oktober 2026
KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Kadar cukai korporat serta kriteria kelayakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) wajar dikaji semula bertujuan menggalakkan pengembangan perniagaan dan memperkukuh daya saing industri tempatan di pasaran antarabangsa.
Presiden Persekutuan Perkilangan Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok berkata perniagaan perlu diberi ruang untuk mengekalkan lebih banyak keuntungan bagi membiayai pelaburan teknologi, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan membangunkan tenaga kerja.
“Sekatan berdasarkan ambang kelayakan sedia ada boleh menghalang perkembangan perniagaan khususnya apabila syarikat yang semakin berkembang kehilangan akses kepada bantuan kerajaan walaupun masih berdepan kos pelaburan dan operasi yang tinggi,”katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, usaha membantu PKS perlu turut memberi tumpuan kepada cabaran operasi yang dihadapi perniagaan, selain kemudahan mendapatkan pinjaman.
Dalam masa sama, persatuan turut menyambut baik pengurangan satu mata peratusan kadar cukai pendapatan korporat PKS di bawah Belanjawan 2027, yang berpotensi menjimatkan sehingga RM6,000 bagi setiap syarikat yang layak.
Bagaimanapun, pengurangan itu katanya, disifatkan masih belum mencukupi untuk menyokong pelaburan berskala besar dalam mesin, automasi, penggunaan teknologi dan peluasan kilang.
“Sehubungan itu, FMM menyarankan kerajaan mempertimbangkan pengurangan kadar cukai korporat PKS secara berperingkat serta memperluas dengan ketara julat pendapatan yang layak menikmati kadar cukai keutamaan.
“Keuntungan yang dikekalkan syarikat penting untuk membiayai pengembangan perniagaan, penyelidikan dan pembangunan, latihan pekerja serta penerokaan pasaran baharu,”jelasnya.
Beliau turut menambah modal dalaman kekal penting sebagai sumber utama dalam membolehkan aspek pelaburan dan pengurusan risiko kewangan dilakukan tanpa terlalu bergantung kepada pinjaman.
Sumber artikel: berita.rtm.gov.my
