Sistem pekerja asing baharu perlu telus, boleh dijejak - FMM

August 24, 2026
Head Office, KL

FMM In The News: BERITA HARIAN, 22 Ogos 2026

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mahu Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerbitkan secara berkala data prestasi Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), termasuk kadar permohonan yang diselesaikan dalam sasaran 14 hari.

Dalam satu kenyataan Presidennya, Jacob Lee Chor Kok, berkata langkah itu penting bagi membolehkan keberkesanan sistem dinilai secara objektif, terutama ketika 4,646 permohonan majikan sudah diterima dan sedang diproses.

"Keberkesanan sistem baharu akhirnya akan dicerminkan melalui keupayaannya mempercepat kelulusan, mengurangkan beban pentadbiran dan kos pengambilan serta memberikan majikan kepastian dan ketelusan lebih besar sepanjang proses permohonan," menurut FMM.

FMM menyambut baik komitmen untuk mengeluarkan Surat Kelulusan Bersyarat (SKB) dalam tempoh 14 hari, tertakluk kepada dokumentasi lengkap serta pematuhan semua keperluan berkaitan.

Berdasarkan carta aliran proses yang dirujuk FMM, tempoh berkenaan dilihat merangkumi beberapa peringkat utama termasuk penjadualan dan pelaksanaan temu duga bersama agensi kawal selia serta pembayaran levi pekerja asing.

FMM berpandangan satu standard perkhidmatan menyeluruh dari awal hingga akhir perlu diwujudkan bagi memberikan kepastian kepada majikan mengenai keseluruhan tempoh pemprosesan.

FMM berkata FWCMS menjadi platform utama permohonan, namun pembayaran levi masih dilihat melibatkan sistem MyIMMs yang berasingan, manakala temu duga fizikal bersama agensi kawal selia kekal menjadi sebahagian daripada proses.

Sehubungan itu, integrasi FWCMS dengan MyIMMs serta sistem Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan agensi berkaitan perlu diperkukuh bagi mengurangkan pertindihan dokumen serta kemasukan data berulang.

Mengenai 4,646 permohonan yang sedang diproses, FMM mahu majikan diberikan maklumat lebih jelas mengenai jangkaan tempoh pemprosesan serta kemudahan untuk menjejaki status permohonan.

"KESUMA digalakkan menerbitkan secara berkala data prestasi utama, termasuk permohonan diterima, diluluskan dan ditolak serta kadar yang diselesaikan dalam tempoh 14 hari ditetapkan," menurutnya.

FMM turut mahu majikan dibenarkan menjejaki permohonan pada setiap peringkat, mengetahui sebab kelewatan atau kegagalan permohonan serta mendapat akses kepada mekanisme rayuan dan eskalasi yang berkesan.

Garis panduan, soalan lazim serta saluran bantuan khusus turut perlu disediakan, terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mungkin memerlukan bantuan untuk menggunakan sistem baharu itu.

Dalam tempoh peralihan, FMM menegaskan majikan yang berdepan masalah teknikal sebenar atau ketidakpastian prosedur tidak seharusnya kehilangan keutamaan bagi permohonan sedia ada.

Kapasiti FWCMS serta kemudahan penjadualan temu duga juga perlu mencukupi untuk mengendalikan permohonan sedia ada dan baharu tanpa mewujudkan kesesakan baharu.

FMM turut mencadangkan supaya permohonan dimiliki dan dikendalikan secara langsung oleh majikan, disokong pengesahan identiti, kawalan akses serta jejak audit.

Langkah itu bertujuan memastikan permohonan hanya diuruskan majikan yang sah atau pihak yang diberikan kuasa secara rasmi, selain mengurangkan risiko penyalahgunaan, manipulasi dan kos perantara yang tidak perlu.

"Pelaksanaan proses baharu tidak seharusnya menyebabkan caj pentadbiran tambahan, yuran pengambilan atau kos lain yang tidak perlu kepada majikan," menurut FMM.

FMM turut mahu pemantauan terhadap agensi pengambilan di negara sumber diteruskan bagi memastikan majikan dan pekerja dilindungi daripada kos berlebihan atau tidak berasas.

Bagi sektor pembuatan, FMM berkata pengambilan pekerja asing ketika ini masih terhad kepada pelaburan baharu dan penggantian susulan Check Out Memo.

FMM berharap pengambilan pekerja asing turut dibuka kepada pengilang lain yang mempunyai keperluan tenaga kerja sebenar yang tidak dapat dipenuhi secukupnya oleh pasaran buruh tempatan.

Menurut FMM, kejayaan FWCMS akhirnya perlu diukur berdasarkan penambahbaikan nyata dalam tempoh pemprosesan, kos, kemudahan pematuhan dan kepastian kepada majikan, tanpa menjejaskan perancangan pengeluaran serta kesinambungan perniagaan.

 

Sumber artikel: bharian.com.my


Certified to IS0 9001:2015

Certificate No: QMS 00787

Certified to IS0 37001:2016

Certificate No: ABMS 00295

An unhandled error has occurred. Reload